DUNIA INI

DUNIA INI | Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Assalammualaikum wbt. Bersyukur kita diizin menjadi penghuni di dunia ini. Masih bernafas sehingga detik ini atas nikmat rezeki daripadaNYA. Umur yang segini itu rezeki. Apa adanya sekarang walau pinjaman dan sementara tetap sahaja nikmat yang luar biasa. Kalau Allah swt minta kita bayar, jujur PC tidak mampu. Semoga dengan mentaati suruhanNYA dan mematuhi setiap larangannya menjadi tanda terima kasih hamba kepada Pencipta. Allahu. 

Dunia ini
Bukan kampung halaman
Bukan rumah tetap untuk dihuni
Melainkan sementara 
Sementara segala-galanya

Ada kemewahan
Ada kesenangan
Ada kebahagiaan
Ada kenikmatan
Dunia ini tetap persinggahan

Ada tempat paling indah
Ada kawasan paling nyaman
Ada suasana paling romantis
Tetap sahaja dunia ini bukan kekal selamanya

Tempat ujian
Tempat latihan
Madrasah kehidupan
Dunia ini akan lebur
Menjadi dedebu yang halus berterbangan

Dunia ini. Memang untuk kita tapi tidak selama-lamanya. Cuma sementara dan seketika seberapa Allah swt izin mengikut usia. Syurga dunia bukan untuk kita. Untuk mereka yang Allah swt pilih tidak merasai hidayahNYA hingga tamat usia. Selagi hidup, sesiapa sahaja boleh menjadi penghuni syurgaNYA, sesiapa sahaja juga boleh menjadi bahan bakaran di nerakaNYA. Lahirnya bukan Islam belum tentu matinya kafir. Lahirnya Islam boleh jadi matinya dalam kesesatan. Kita tidak pernah tahu.

Hati kita Allah swt yang jaga. Boleh diubah dan berubah pada bila-bila masa sahaja. Jangan rosakkan dengan keangkuhan ketika berbicara. Ingat, dunia ini bukan destinasi terakhir untuk kita. Dunia ini destinasi yang mewah dengan percubaan demi percubaan. Latihan demi latihan perlu dilakukan berterusan. 

Di dunia ini tempat kita bertarung. Nafsu dan iman. Nafsu dan ilmu. Berlawan dan berkawan. Berlawan dengan yang merosakkan kita. Berkawan dengan suatu yang kita tidak suka tapi Allah swt suka dan cinta. Macam mudah tapi ramai yang tewas. Macam sukar tapi ada sahaja yang berjaya dengan jayanya. Kita boleh kalau kita mahu ikut apa yang telah ditentukan dan ditetapkan. 

Banyak yang palsu di dunia. Ada sahaja yang boleh berubah-ubah di dunia. Itulah hakikatnya. Duniakan. Macam rasa dahaga. Walau kita minum banyak air rasa dahaga tetap ada. Macam kita manusia keinginan selalu bercambah. Cuma bagaimana mahu memisahkan atau menghindari baik dan buruk itu sahaja cara masing-masing.

Dunia ini akan ditinggalkan.

Tinta Perdu Cinta ❤
Dunia Ini



PeRdU cINta

Lifestyle Personal Blog - Menjaga rasa cinta.Pengalaman diolah menjadi artikel. JUA AZURA | ISTERI & BLOGGER | ASAL BATU PAHAT JDT | UNTUK REVIEW : EMAIL KE teratakcomelkita8384@gmail.com twitter rss instagram facebook

1 Ulasan

Kata-kata kalian itu INSPIRASI..TERIMA KASIH..

Terbaru Lebih lama