SEMERBAK BAU BUAH KUINI | Assalammualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. REZEKI DARIPADA SIAPA PUN.. PUNCA UTAMA ADALAH REZEKI DARIPADA ALLAH SWT. Manusia cuma perantara sahaja.
Balik rumah baba. Masuk rumah hidung disajikan dengan aroma yang telah lama tidak menyapa rongga hidung. Luas mata, luas mulut seiring dengan luas langkah. Teruja punya pasal. Masuk rumah, babah sibuk berdiri disinki. Gunting anak ikan untuk diberi kepada anak dan cucu bulu yang ada. Rutin macam biasa. Kadang PC tolong potong atau gunting anak ikan tu. Senang anak bulu nak makan.
'Sedapnya bau buah kuini ni babah..'.. -pc-
'Ada tu haaa, jiran kita bagi buah kuini.. ' -babah-
Alhamdulillah.. muka teruja. Hati gembira. Seronok sangat-sangat. Bagi penggemar buah-buahan, bila ada buah-buahan depan mata rasa gembiranya lain macam. Sungguh. Lagilah kalau buah-buahan yang dah lama tak makan. Fuhh.
Ada dua pokok kuini di kebun babah. Belakang rumah. Rajin berbunga. Rajin berputik. Rajin berbuah. Cuma belum rezeki kami nikmati hasilnya. Atas pokok diserang lotong, monyet dan tupai. Bila gugur diserang babi, landak dan musang. Rezeki memandang sahaja setakat ni. Manakala pokok kuini di rumah jiran PC, betul tepi anjung rumah dia. Buka pintu terus nampak pokok. Monyet pun segan nak serang pokok untuk menikmati buah kuininya. Alhamdulillah rumah jiran tu pun ada dua pokok kuini. Pokok tua, besarnya lain macam. Lebat buahnya pun alhamdulillah. Maka dia sudi beri pada jiran sekeliling rumah. Merasalah semua buah kuini.
Selalu orang pesan, kalau ada orang beri buah kuini jangan buat sambal belacan nanti buah akan datang busuk.. buahnya rosak jadi tak cantik. PC dengar ni daripada PC masih kecil lagi.. pernah satu masa tu.. arwah mama nak sangat makan sambal belacan campur kuini.. sanggup pergi pasar cari buah kuini.. padahal masa tu atok ada bagi buah kuini dari kebun atok.. cantik isinya, oren warnanya, tebal isinya, manis tidak busuk pun.. dek kerana dengar orang cakap, mama risau dipersalahkan.. sanggup beli buah kuini lain.. bila atok tau.. mama kena bebel dengan atok nenek.. "halah, kalau rezeki elok, elok.. kalau tak buat sambal belacan pun.. kalau nak busuk.. busuk juga buahnya.. ".. kata atok.. (mama, atok, nenek - love you.. Al Fatihah)
SEMERBAK BAU BUAH KUINI. Bukan semua tentang buah. Ada terselit kenangan untuk PC juga. Mungkin segelintir anak-anak zaman sekarang tak kenal pun buah kuini. Ada yang tak suka dengan bau dan rasanya juga. Boleh saja diolah menjadi jus atau jem makan dengan roti.. sedapnya.. dulu mama rajin juga buat ais krim kuini. Ya Allah. Sedih bila teringat. Rindu sangat-sangat. Semoga rezeki sentiasa ada untuk menikmati buah yang semakin kurang mendapat perhatian ini. Ada yang mulus luar dalam.. ada yang mulus luar buruk dalamnya.. normallah tu.. semua buah begitu. Cuma percaya satu.. REZEKI tidak akan salah tuju pada pemiliknya.
NOTA PC : Sedah seminggu dibulan Jun. Selesai Aidil Adha juga. Alhamdulillah.
Tags:
Santai Peribadi


Cie ambil dari rumah kakak. Buat sambal sedap betul.
BalasPadamMusim kuini dah nak berakhir
BalasPadamMasuk pula musim durian.